DUA RASA, SATU MASA
Takut. Kelakar. Hari tidak semua indah. Kadang-kadang kita melalui hari yang buruk. Saya akan melalui lorong ini setiap hari dan setiap kali itu juga lah saya terkenang hari buruk itu.
Lorong ini kah tempat saya ditinggalkan oleh seseorang? Lorong ini kah tempat saya ditolak oleh seseorang? Tidak. Bukan.
Lorong ini lah tempat saya dikejar oleh satu makhluk ciptaan Allah yang satu itu. Seekor kera (Abe Kera) yang besar, berotot, bermata tajam, dan menakutkan bagi saya. Siapa kata cinta hadir dari mata jatuh ke hati? Saya tidak setuju. Entah Abe Kera itu jatuh hati atau apa? Kami bertentang mata dan saya dikejar secara tiba-tiba.
Saya yang berseorangan pada waktu itu sudah mula berasa takut apabila melihat si Abe Kera dari jauh. Saya tetap beranikan diri untuk terus berjalan namun dengan tidak sengaja terpandang mata Abe Kera semasa dia berada di tepi jambatan. Tiba-tiba sahaja dia melompat dan menepis bahu saya. Laju jantung saya berdegup kencang lalu menjerit dengan kuat sehingga ingin terkeluar anak tekak .Bukan kerana jatuh cinta tetapi kerana terkejut dan terlalu takut. Saya berlari sambil menjerit semahu-mahunya sehingga terjumpa satu pejabat berdekatan dan seperti orang gila yang ketakutan mengetuk pintu pejabat untuk meminta tolong. Sedikit lagi nak roboh pintu itu saya ketuk. Masih menangis dan menggigil ketakutan walaupun selepas diselamatkan oleh kakitangan di situ. Namun, saya juga tertawa kerana merasakan kejadian itu sangat lucu dan memalukan. Menangis sambil ketawa.
Semoga tidak dipertemukan lagi dengan si Abe Kera.
Comments
Post a Comment