SAYA
Tak kenal maka tak cinta. Sering sahaja ungkapan ini meniti di bibir masing-masing. Oleh sebab itu, sebelum berkongsi cerita dan kisah yang lainnya, izinkan saya memperkenalkan serba sedikit tentang diri ini. Jika "Tak kenal maka tak cinta" pada awalnya, maka jangan pula terjatuh cinta di akhir cerita.
Dilahirkan pada 19 Ogos 2001 di Hospital Besar Tawau, Sabah. Alhamdulillah, kini sudah pun mencecah usia 21 tahun dan amnya dikenali sebagai Syauqina. Mendapat pendidikan di SK Luasong, Tawau semasa sekolah rendah dan meneruskan persekolahan di SMK Merotai Besar, Tawau semasa tingkatan 1 sehingga tingkatan 3. Selepas itu, berpindah pula ke sekolah menengah lain iaitu SMK Kuhara, Tawau semasa tingkatan 4 dan tingkatan 5 lalu menyambung pelajaran ke peringkat STPM di Kolej Tingkatan Enam Tawau. Sedikit pencapaian yang dapat dijadikan sebagai hadiah kepada kedua-dua ibu bapa tersayang adalah mendapat keputusan 8A dalam SPM dan mendapat PNGK sebanyak 3.92 dalam STPM. Menjelang tahun 2021, diberikan rezeki yang cukup besar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di UKM dan mengambil jurusan Sarjanamuda Sastera dengan Kepujian (Pengajian Bahasa Melayu). Pohon doa untuk kejayaan saya.
Hobi? Sudah tentunya bersantai dengan membaca buku dan mendengar muzik. Sekadar berkongsi minat, saya adalah peminat tegar karya Teme Abdullah dan Ayesha Syahira. Jika ditanya genre muzik apa yang digemari, semestinya saya tidak tahu. Maaf, saya memang suka mendengar muzik, namun bukanlah ahli muzik. Penyanyi kegemaran? Semestinya Taylor Swift dan penyanyi kesayangan Malaysia, Dato Siti Nurhaliza! Jika anda berkongsi minat yang sama dengan saya, jemput hadir di ruangan komen.
Setakat itu sahaja untuk permulaan tulisan dan perkenalan dari saya. Terima kasih atas kesudian mengenali diri ini. Assalamualaikum.
Terbaikk Qina
ReplyDelete